Ahad, 17 Februari 2013

IKTIRAF HAMAS, HENTI HUBUNGAN DENGAN ISRAEL




Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak segera mengiktiraf HAMAS sebagai sebuah organisasi Islam serta kerajaan Palestin yang sah di bumi Palestin. Dalam kunjungan Najib ke bumi Gaza semalam, beliau bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Haniyeh yang mewakili kerajaan HAMAS.
Kunjungan PM seharusnya diterjemahkan dengan hubungan akrab antara Malaysia dengan kerajaan HAMAS. HAMAS perlu dikeluarkan dari rekod sebagai kumpulan pengganas antarabangsa dan Malaysia perlu membersihkan nama HAMAS di pentas dunia. DPPM juga kesal kerana sehingga sekarang kerajaan gagal mengiktiraf HAMAS sebagai sebuah kerajaan yang sah mewakili rakyat negara itu.
Selain itu, DPPM meminta kerajaan supaya membuka kedutaan Palestin di Kuala Lumpur yang diwakili oleh HAMAS sebagai entiti rasmi kerajaan negara itu. Tambahan lagi wakil HAMAS perlu dijemput dalam setiap program rasmi melibatkan kerajaan luar  yang dianjurkan di negara ini.
Umat Islam di negara ini mengharapkan peranan lebih besar disalurkan kepada bumi berdarah Palestin serta Syria daripada sekadar kunjungan PM. Kerajaan Malaysia mempunyai kapasiti untuk bertindak sebagaimana yang dilakukan oleh negara Turki dan Mesir yang lantang memberi amaran keras kepada Israel. Malaysia sepatutnya menjadi contoh kepada negara serantau yang bertindak tegas termasuk memboikot Israel dan negara sekutu dengannya.
Selain itu, PM perlu bertindak tegas dengan menghentikan sebarang hubungan dengan Israel sama ada secara langsung atau tidak langsung. Antaranya PM perlu menamatkan segera kontrak dengan syarikat yang ada kepentingan dengan Israel, APCO sebagai perunding imej PM. Jangan ada sikap talam dua muka antara Malaysia dengan HAMAS, di depan nampak akrab dan menangisi umat Islam Gaza, tetapi dibelakang menjalin hubungan intim pula dengan musuh umat Islam Palestin, iaitu Israel.
DR RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

0ulasan:

Catat Ulasan

TwitterDeliciousFacebookDiggStumbleuponFavoritesMore

 
Design by PasPtas | Bloggerized by PasPtas - Premium Blogger Themes | 100 Web Hosting