Selasa, 12 Februari 2013

IC SABAH:PEMIMPIN UMNO PENGKHIANAT




Pendedahan bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, Ramli Kamarudin serta beberapa individu yang pernah berkhidmat di JPN  bahawa bekas pemimpin negara terlibat secara langsung dalam mengeluarkan kad pengenalan sementara (resit sementara) bagi membolehkan pendatang asing mengundi dalam pilihanraya merupakan sesuatu yang amat mengejutkan. Mereka mendedahkan demikian di hadapan Suruhanjaya Di Raja (RCI)  yang menyiasat mengenai pendatang haram yang diberikan kad pengenalan.
Antara pendedahan yang menggemparkan adalah bagaimana arahan langsung bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub serta Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, bekas Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir kepada pegawai JPN supaya mengeluarkan resit membenarkan pendatang haram di Sabah mengundi dalam pilihan raya negeri pada tahun 1994.
Didedahkan juga adalah bagaimana pengarah SPR Sabah ketika itu (1994), Wan Ahmad Wan Yusof  telah memberi arahan kepada JPN Sabah untuk memberi kad pengenalan kepada pendatang asing untuk membolehkan golongan itu mengundi. Seramai 16,000 nama untuk diklasifikasikan sebagai pengundi bumiputera Islam dalam suatu operasi yang digelar sebagai ‘Ops Durian Buruk’.
Dengan pendedahan beberapa individu terbabit membuktikan sememangnya Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memainkan peranan di belakang tabir dalam memberi kad pengenalan dan seterusnya membolehkan warga asing menjadi pengundi. Ia mengesahkan lagi prejudis rakyat bahawa SPR dan JPN bersekongkol membantu UMNO-BN dalam memenangkan mereka di setiap pilihan raya.
Jika apa yang didedahkan tersebut berlaku di Sabah, tidak mustahil situasi yang sama berlaku di Semenanjung Malaysia. Pengakuan mereka ini mewujudkan suatu sikap bahawa SPR dan JPN sudah tidak boleh dipercayai sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap negara. Mereka ini diperkakas bukan untuk berkhidmat kepada negara, tetapi terhadap beberapa kerat pemimpin korup yang rosak akhlak.
Saya menganggap pemimpin yang disebutkan atau mereka yang terlibat adalah pengkhianat negara dan wajar dihukum dengan hukuman yang setimpal. Hanya kerana bernafsu tinggi dalam politik, mereka sanggup menggadaikan maruah dan kedaulatan negara kepada warga asing. Malah pemimpin tersebut sanggup memperalatkan pegawai kerajaan untuk berkhidmat untuk mereka dalam menjalankan kerja-kerja haram ini. Entah berapa tahun mereka ini telah menjalankan kerja haram ini dan entah berapa banyak pula parlimen atau negeri yang dimenangkan hanya melalui ‘pertolongan’ warga asing.
Justeru, tidak ada jalan buat rakyat Malaysia melainkan kerajaan BN perlu ditumbangkan, baharulah semua kerja pembersihan dalam agensi kerajaan seperti SPR danJPN dapat dilakukan. Jika tidak, selamanya rakyat Malaysia akan terus dibohongi oleh  penguasa jahat melalui perancangan sulit mereka.
AHMAD ZAMRI ASA’AD KHUZAIMI
Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan

0ulasan:

Catat Ulasan

TwitterDeliciousFacebookDiggStumbleuponFavoritesMore

 
Design by PasPtas | Bloggerized by PasPtas - Premium Blogger Themes | 100 Web Hosting